PENGERUSI Biro Kebajikan UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah meluangkan masa melawat Latinah Munawan, 80, yang terlantar sakit sempena Program UMNO Bantu Rakyat 2.0 di Ayer Itam. FOTO Yazit Razali
Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@hmetro.com.my


“WALAUPUN nenek tidak dapat bercakap, namun dari riak wajahnya, saya tahu dia gembira ramai menziarahinya,” kata Siti Hajar Zainal, 29.

Siti Hajar berkata, kesihatan neneknya, Latinah Munawan, 80, merosot selepas serangan angin ahmar, tahun lalu.

Menurutnya, serangan angin ahmar secara tiba-tiba itu menyebabkan neneknya terjatuh di laman rumah dan mencederakan tulang pinggulnya.

“Sejak itu, nenek tidak boleh bergerak mahu pun bercakap dan hanya terlantar di katil.

"Kami sekeluarga bergilir menjaga nenek setiap hari bagi memastikan semua keperluan termasuk makan dan minumnya terjaga,” katanya kepada Harian Metro selepas diziarahi Pengerusi Biro Kebajikan UMNO (BiKUM) Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah sempena program UMNO Bantu Rakyat 2.0 di Kampung Parit Kangkar, Ayer Hitam, hari ini.

Pada kunjungan itu, pasukan perubatan BiKUM yang diketuai Dr Mohd Rashidi Abdul Salam turut melakukan pemeriksaan perubatan terhadap Latinah.

Siti Hajar berkata, keluarganya berterima kasih kerana ada pakar perubatan turut serta dalam kunjungan itu.

“Kami memang sukar membawa nenek untuk melakukan pemeriksaan di hospital, mujurlah kunjungan pihak BiKUM membawa bersama doktor yang boleh memeriksa keadaan kesihatan nenek.

“Sekurang-kurangnya kami tahu tahap tekanan darahnya dan pemeriksaan asas lain,” katanya.

Sementara itu, rombongan BiKUM turut melawat pesara tentera, Baharim Mohd Hasan, 80, yang juga terlantar akibat serangan angin ahmar di Kampung Sahari, Simpang Renggam.

Anaknya, Mohd Saleh, 32, berkata, ayahnya diserang angin ahmar, kira-kira empat tahun lalu.

“Ayah juga sudah tidak dapat bertutur dengan jelas. Selain itu, dia juga perlu menggunakan saluran tiub untuk makan dan minum.

"Apapun, kami sekeluarga masih menaruh harapan dan tidak putus berdoa supaya ayah akan sembuh suatu hari nanti, " katanya.

Sementara itu, dalam kunjungan berkenaan pihak BiKUM turut menyerahkan bantuan wang tunai serta barangan keperluan harian kepada keluarga terbabit.

Shamsul Anuar berkata, sumbangan itu diharap sedikit sebanyak dapat membantu meringankan penderitaan keluarga berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2017 @ 5:55 PM