Keadaan motosikal mangsa yang terbabit kemalangan. FOTO Junaidi Ladjana
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@hmetro.com.my


SEORANG anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar kereta yang membuat pusingan U di Kilometer 16 Jalan Tuaran By Pass, Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam kejadian 7.20 pagi itu, mangsa Muhammad Zaid Mohd Zain, 29, yang bertugas di TLDM Sepanggar, meninggal dunia akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, dalam kejadian itu, Proton Saga dipandu lelaki berusia 26 tahun dari University Apartment menuju ke pusat bandar raya.

"Sebaik tiba di lokasi kemalangan, pemandu Proton Saga keluar simpang untuk membuat pusingan U dan tiba-tiba motosikal mangsa dari arah hadapan terlanggar kereta berkenaan di bahagian kiri.

"Akibat kejadian itu, mangsa parah di kepala dan segera dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (HWKK) Likas untuk rawatan lanjut.

"Pada 8.35 pagi, pihak hospital mengesahkan mangsa meninggal dunia dan mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1) untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Chandra berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1897.

"Pemandu Proton Saga direman untuk membantu siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil menyalurkan maklumat kepada polis untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2017 @ 7:49 PM