ANTARA kereta dan dadah yang dirampas daripada suspek dalam serbuan polis di Taman Sri Rambai,Bukit Mertajam. FOTO ihsan Polis
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


POLIS dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah memberkas lelaki bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM8,770 di Taman Sri Rambai,Bukit Mertajam, 11.45 pagi semalam.

Dalam serbuan itu, pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPDSPT menahan lelaki berusia 29 tahun berkenaan yang sedang memandu kereta di Taman Sri Rambai.

Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan polis di dalam kereta menemui satu beg mengandungi 180 biji pil ecstasy (58.6 gram) , 150 biji pil erimin (41.0 gm) dan syabu (3.1gm).

Beliau berkata, kesemua dadah dianggarkan bernilai RM8,770.

Katanya, suspek ditahan dan kereta serta dadah dirampas sebelum dibawa ke IPDSPT bagi tindakan selanjutnya.

Nik Ros Azhan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2017 @ 6:49 PM