Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


POLIS merampas syabu seberat 309 kilogram yang dianggarkan bernilai hampir RM22 juta dalam dua serbuan berasingan di Terengganu dan Pulau Pinang pada Isnin dan Selasa lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, pihaknya turut menahan enam suspek berusia antara 25 hingga 53 tahun dalam serbuan di Bukit Payong, Marang antara 11 hingga 11.40 malam pada Selasa dan di Georgetown, Pulau Pinang antara 3.35 hingga 4.30 petang kelmarin.

"Di Terengganu, kita menahan dua lelaki bersama syabu seberat 288.5 kilogram bernilai RM20.2 juta.

"Susulan penahanan dua suspek, kita menahan seorang rakan mereka di Selangor.

"Kita turut menyita wang tunai RM2,750 dan dua kereta iaitu Mitsubishi Triton dan Chevrolet Colorado serta sebuah treler," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di Kuala Terengganu.

Turut hadir, Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail.

Mohmad berkata, pihaknya menahan tiga lelaki dalam dua serbuan berasingan di Pulau Pinang kelmarin.

Katanya, pemeriksaan menemui syabu seberat 20.5 kilogram yang dianggarkan bernilai RM1.4 juta.

"Kita turut menyita dua kenderaan iaitu Nissan Xtrail dan Toyota Camry bernilai RM150,000.

"Siasatan mendapati sindiket ini membawa masuk bahan terlarang ini melalui sempadan dengan menyembunyikannya di dalam bungkusan teh bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Kita percaya bekalan dadah ini untuk pasaran di Malaysia," katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan semua suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang turut disertai Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu dan Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2017 @ 6:23 PM
Mohmad (tengah) Aidi (tiga kanan) menunjukkan rampasan 309 kilogram dadah bernilai hampir RM22 juta pada sidang media di IPK Terengganu hari ini. FOTO Ghazali Kori