SUSPEK kes pukul sampai mati ditahan polis di Cheras Kajang. FOTO Ihsan PDRM
Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my


POLIS tahan lelaki berusia 38 tahun di sebuah rumah di Batu 9, Cheras Kajang, 3 pagi tadi bagi membantu siasatan kes memukul seorang lelaki sampai mati, Jumaat lalu.

Suspek ditahan di rumah kawannya hasil intipan dan maklumat awam yang diterima sebelum sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) melakukan serbuan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar mengesahkan penangkapan suspek selepas diburu polis sejak Sabtu lalu.

Beliau berkata, suspek melarikan diri selepas mengetahui dia diburu polis selepas kejadian pada malam Jumaat lalu.

Katanya, suspek akan dibawa ke IPDTL sebelum dibawa ke mahkamah pagi ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian malam Jumaat itu, suspek bersama seorang lagi rakannya dipercayai bertindak memukul mangsa Lim Kok Boon, 33, di kawasan tempat pembuangan sampah di Blok B, Flat Kampung Melayu, Air Itam.

Mangsa dipukul dengan topi keledar sehingga pengsan sebelum dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan disahkan meninggal dunia 10 pagi Isnin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2017 @ 10:24 AM