SEBAHAGIAN murid bergambar bersama Ahli Parlimen Bentong Datuk Seri Liow Tiong Lai yang juga Menteri Pengangkutan dalam Kempen Minum Susu Bersama Dutch Lady di SK Janda Baik, Pahang.
HM Digital

Kota Bharu: Kerjasama antara Dutch Lady Malaysia (Dutch Lady) dengan Kementerian Pendidikan menerusi program Anugerah 3K mencatatkan rekod baru tahun ini apabila penyertaan sekolah meningkat empat kali ganda.

Program itu yang turut dijenamakan semula kepada Projek Khas Drink, Move, Be Strong adalah inisiatif Dutch Lady dalam memberi kesedaran terhadap mencegah dan menangani penyakit tidak berjangkit.

Anugerah 3K adalah projek tahunan sejak 2015 yang memberi pengiktirafan kepada sekolah rendah dan menengah dalam usaha meningkatkan persekitaran sekolah berdasarkan tiga aspek utama ‘k’ - kebersihan, kesihatan dan keselamatan.

Pengarah Urusan Dutch Lady, Saw Chooi Lee berkata, penyumbang kepada kenaikan penyertaan adalah daripada sekolah rendah dan menengah di Pantai Timur.

Katanya, di Kelantan, Sekolah Kebangsaan (SK) Datu Hashim menjuarai Anugerah 3K dan memenangi semua tiga projek Drink. Move. Be Strong bagi sekolah rendah, manakala Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kandis menggungguli semua anugerah untuk sekolah menengah.

“Projek ini adalah kempen kesihatan menyokong pengambilan khasiat susu sebanyak dua gelas sehari dan meluangkan masa sekurang-kurangnya satu jam melakukan aktiviti fizikal.

“Kami berbesar hati dan berbangga dapat bekerjasama dengan kementerian sejak 2015 dalam memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan murid dan pelajar, malah gembira dapat meneruskan tanggungjawab sosial korporat dalam menangani penyakit tidak berjangkit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2017 @ 4:04 AM