Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my

SURI rumah berputih mata apabila wang tunai berjumlah RM28,000 yang baru dikeluarkan dari bank di Mahkota Cheras, dilarikan pasangan penjenayah, semalam

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, kejadian berlaku ketika mangsa wanita berusia 62 tahun itu pergi ke bank berkenaan untuk mengeluarkan wang pada 3.45 petang.

"Sebaik mangsa keluar daripada bank, dia terus berjalan menuju ke keretanya sebelum meletakkan beg mengandungi wang di kerusi penumpang kenderaan.

"Ketika masih berada dalam kereta, seorang wanita datang dan mengelap cermin kereta di bahagian pemandu. Mangsa segera keluar dari dalam kenderaan dan bertanya punca tindakan wanita itu. Suspek kemudian memaklumkan kononnya sebahagian duit miliknya tercicir” € katanya.

Ketika mangsa tercari-cari wang yang dikatakan terjatuh, seorang suspek lelaki datang membuka pintu belakang kereta mangsa dan melarikan beg mengandungi wang tunai itu.

"Kedua-dua suspek kemudian meninggalkan lokasi kejadian dengan menaiki kereta Honda City hitam," katanya.

Dzaffir berkata, pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) bank tidak dapat merakam lokasi kejadian, namun polis akan mengambil keterangan beberapa saksi dan peniaga berhampiran.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2017 @ 11:56 PM