Polis menahan 174 individu dipercayai terbabit dalam aktiviti perjudian menerusi 22 serbuan berasingan dalam Op Dadu di seluruh Johor selama seminggu. FOTO ihsan polis
Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my


POLIS Johor menjalankan siasatan telus dan terperinci berhubung dakwaan pegawainya terbabit dengan aktiviti pusat judi seperti ditularkan melalui satu klip video sejak beberapa hari lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, pihaknya memandang serius dakwaan itu namun tidak boleh mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan.

“Saya sudah memanggil semua Ketua Polis Daerah di Johor dan kami menjalankan Op Judi secara berterusan sejak dua minggu lalu.

“Kami memandang serius dakwaan itu kerana sentiasa memastikan anggota serta pegawai menjalankan tugas dengan penuh integriti,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) bersama Polis Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Hadir sama, Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye.

Mohd Khalil berkata, siasatan giat dijalankan dan sekiranya didapati ada pegawai atau anggota terbabit dengan gejala itu, pihaknya akan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang sedia ada.

Beberapa hari lalu, orang ramai gempar apabila sebuah klip video mendakwa pemilik pusat perjudian di Johor mempunyai kaitan dengan pegawai polis.

Video berdurasi 4.06 saat itu turut mendakwa pemilik pusat judi di sebuah daerah di negeri ini naik satu kereta dengan pegawai polis.

Selain itu, lelaki berkenaan turut mendakwa 90 hingga 99 peratus pelanggan pusat judi adalah Islam terutama pada waktu malam serta mempertikaikan mengapa pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi kerajaan lain tidak mengambil tindakan tegas serta masih mengeluarkan lesen perniagaan.

Video berkenaan turut mempertikaikan kegiatan along yang semakin berleluasa hingga banyak iklan ditampal tanpa sebarang tindakan.

Bagaimanapun, mereka turut mengakui hanya segelintir pegawai polis berbuat demikian dan kebanyakan anggota serta pegawai polis yang jujur dan amanah berdepan masalah ketika menjalankan tugas hingga diugut samseng.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2017 @ 5:42 PM