DUA motosikal yang bertembung di simpang tiga Jalan Pegawai Felda Bukit Senggeh-Jasin. FOTO Noor Azurin Mohd Sharif
Noor Azurin Mohd Sharif
am@hmetro.com.my


REMAJA berusia 15 tahun maut, manakala warga emas, 66, putus empat jari kaki kanan dan patah bahu kiri dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di simpang tiga Jalan Pegawai Felda Bukit Senggeh-Jasin, Jasin 9 malam, semalam.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, remaja terbabit dikenali sebagai Mohammad Aiman Rosdi, beralamat di Taman Nyalas Baru maut di lokasi kemalangan.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa menunggang Yamaha LC135 dari pekan Nyalas menghala ke Jasin manakala warga emas menunggang Yamaha Ego dari arah bertentangan.

"Sejurus tiba di simpang tiga itu, warga emas terbabit mahu membelok ke kanan, namun mangsa gagal mengelak Yamaha Ego terbabit menyebabkan kedua-dua motosikal terbabit bertembung.

"Warga emas yang parah dikejarkan ke Hopital Jasin untuk rawatan, manakala mayat mangsa dibawa ke jabatan forensik hospital sama untuk proses bedah siasat," katanya.

Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil segera bagi membantu pihaknya melengkapkan siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2017 @ 5:31 PM