Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my


Prai: Akibat menunggang motosikal secara melawan arus, seorang lelaki maut dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Kilometer 0.9, berhampiran tol Jambatan Pulau Pinang arah Georgetown, di sini, tengah hari semalam.

Dalam kemalangan jam 12 tengah hari itu, mangsa, Ng Kong Cheong, 53, dari Taman Chai Leng, Prai maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah(SPT) Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Abd Hamid berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta berusia 39 tidak sempat mengelak motosikal ditunggang mangsa yang datang dari arah bertentangan.

“Akibatnya, dia melanggar motosikal mangsa secara berdepan hingga menyebabkan mangsa terjatuh dan cedera lalu maut di lokasi kejadian.

“Pemandu kereta yang juga seorang jurujual tidak cedera dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk bedah siasat,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2017 @ 6:50 AM
KEADAAN motosikal mangsa selepas kemalangan.