Fazlisyam menunjukkan antara 30 individu yang paling dikehendaki polis kerana disyaki terbabit dalam kes jenayah berat di Terengganu sejak 2007. FOTO Syafiq Ambak
Zaid Salim
am@hmetro.com.my


WANITA antara 30 individu yang paling dikehendaki polis kerana disyaki terbabit dalam kes jenayah berat di Terengganu sejak 2007.

Semua wajah 30 penjenayah berusia antara 30 hingga 50 tahun itu didedahkan polis hari ini dalam usaha untuk mengesan mereka bagi menyelesaikan kes sejak 10 tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, ada suspek berkenaan terbabit dalam kes bunuh, cubaan bunuh dan samun hingga mendatangkan kecederaan.

"Seramai 11 suspek termasuk seorang wanita Norhayati Arinan berusia 28 dari Kampung Pak Pa, Kuala Terengganu dan lelaki warga Thailand Mohd Yusob Toku terbabit dalam kes bunuh," kata ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, hari ini.

Menurutnya, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Terengganu mensasarkan untuk menyelesaikan kes berkenaan menjelang tahun depan bagi menunjukkan komitmen terhadap arahan Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd yang mahu semua kes tertangguh dapat diselesaikan dengan segera.

"Setiap minggu, polis negeri ini akan mendedahkan wajah lebih 600 individu dikehendaki secara berperingkat di laman sosial Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu bagi mendapatkan maklumat terkini daripada orang awam untuk membolehkan semua suspek ditahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 5:45 PM