Polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya sembilan kes samun di sekitar Kota Kinabalu berikutan tertangkapnya Geng Botak. FOTO Ihsan PDRM
Fardy Bungga
am@hmetro.com.my


POLIS berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya sembilan kes samun dan pemerasan di sekitar pusat bandaraya Kota Kinabalu berikutan tertangkapnya sembilan individu yang dikenali sebagai 'Geng Botak'.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, semua suspek berusia lingkungan 17 hingga 42 tahun itu berjaya ditahan dalam beberapa siri serbuan yang dilakukan di kawasan pusat bandar dan Menggatal pada 18 hingga 21 September lalu.

Katanya, pihaknya turut berjaya merampas sebuah kereta Perodua Viva menggunakan nombor pendaftaran palsu yang dipercayai digunakan dalam beberapa kejadian samun bersama 13 telefon bimbit, tiga komputer riba dan dua cincin emas yang dianggarkan bernilai RM35,000.

“Ahli kumpulan ini terdiri daripada empat rakyat tempatan dan lima warga asing. Kumpulan ini dipercayai bergiat aktif melakukan jenayah sejak Julai lalu.

“Kita percaya dengan tertangkapnya ahli kumpulan ini, polis berjaya menyelesaikan sembilan kes kejadian samun yang dilaporkan berlaku sekitar Kota Kinabalu," katanya.

Chandra berkata, dalam tempoh Julai hingga September tahun ini, beberapa siri kejadian kes samun dan pemerasan dilaporkan berlaku iaitu 10 kes samun berkawan tanpa senjata , sembilan kes samun tanpa senjata dan dua kes kejadian pemerasan.

“Ekoran daripada beberapa siri kejadian jenayah yang amat mengusarkan ini, satu tindakan khas segera diambil oleh pihak polis untuk mengesan suspek yang terbabit.

“Operasi Op Samun ini dijalankan oleh Pasukan Khas dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu berdasarkan maklumat awam dan risikan polis," katanya.

Tamat

1)Antara barangan yang berjaya dirampas dipercayai hasil samun kumpulan berkenaan.

2) Chandra(dua dari kiri) menunjukkan komputer riba yang dirampas daripada kumpulan geng botak

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 2:58 PM