Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


TAKTIK premis karaoke di Taman Desa Wan, Klang, menyediakan lorong tikus dan pintu tersembunyi bagi membolehkan pelayan pelanggan (GRO) menyembunyikan diri gagal apabila diserbu polis, tengah malam tadi.

Serbuan dilakukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menerusi Ops Noda pada 12.30 tengah malam selepas risikan mendapati premis terbabit menggajikan wanita warga asing sebagai GRO.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, modus operandi premis yang dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) itu adalah menyediakan tempat beristirehat dan karaoke bagi golongan tertentu yang ingin mendapatkan layanan GRO warga asing.


ANTARA wanita warga asing yang ditahan. FOTO Muhammad Sulaiman

"Pemeriksaan polis mendapati terdapat lebih dari lima pintu tersembunyi dan beberapa lorong tikus bagi membolehkan mereka melarikan diri.

"Dua belas GRO ditangkap dan 10 daripadanya dari Vietnam dan dua dari Indonesia berusia 20 hingga 37 tahun dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdangan Orang dan Penyeludupan Migran.

"Selain itu, polis turut menahan 30 pelanggan serta sembilan pekerja premis dan mereka dibawa ke IPD Klang Selatan untuk siasatan selanjutnya," katanya.


ANTARA mesin judi yang dirampas. FOTO Muhammad Sulaiman

Sementara itu, Shamsul berkata, pihaknya turut melakukan Ops Dadu di lima premis sekitar Klang, tengah malam tadi .

"Hasil operasi berkenaan, kita merampas 52 mesin judi dan wang tunai berjumlah RM577.

"Polis turut menangkap enam individu dipercayai penjaga premis dan pemain mesin," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4 B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 11:05 AM
ANTARA wanita warga asing dan lelaki yang ditahan ketika serbuan. FOTO Muhammad Sulaiman