BIAWAK yang terperangkap pada pintu jeriji besi di sebuah rumah di Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh.

Sungai Buloh: Seorang pemilik kediaman terkejut apabila mendapati seekor biawak terperangkap di celah pintu jeriji besi di kediamannya di Kampung Kubu Gajah di sini.

Dalam kejadian jam 3.50 petang semalam, penghuni rumah menghubungi bomba dan penyelamat bagi mengeluarkan biawak besar itu.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.52 petang sebelum segera menuju ke lokasi kejadian.

Menurutnya, anggota bomba menggunakan alat penjerut untuk menangkap reptilia itu.

“Biawak itu mula bertindak agresif ketika anggota bomba cuba menangkapnya.

“Anggota bomba mengambil masa selama lima minit untuk mengeluarkan biawak itu dari celah jeriji besi,” katanya.

Dia berkata, haiwan itu dilepaskan di kawasan hutan berhampiran yang jauh dari orang awam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2017 @ 11:18 AM