Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) mengeluarkan amaran cuaca buruk selama 3 hari bermula semalam.

Menerusi data dikeluarkan pada 21 September lalu, Kelantan mengalami hujan lebat berterusan sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga hari lagi.

Sementara itu, beberapa negeri di utara meliputi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak (Kerian, Larut Matang & Selama, Kuala Kangsar dan Hulu Perak) dijangka berterusan menerima hujan sederhana kadangkala lebat.

Memetik kenyataan JMM dalam akhbar ini pada 19 September lalu, negara berada di penghujung monsun barat daya (MBD) dan dijangka berakhir minggu akhir September.

Ketua Pengarah JMM, Alui Bahari berkata, berlaku penumpuan angin di kawasan negara kita menyebabkan cuaca di seluruh negara agak lembap tetapi untuk tempoh sementara.

Menerusi laman sesawang JMM, ribut petir, hujan lebat berserta angin kencang berlaku di Baling, Kulim dan Bandar Baharu, Kedah, di Pulau Pinang, Perak (Kerian, Larut, Matang, Selama, Bagan Datuk dan Hilir Perak), Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Petaling, Klang dan Hulu Langat), Kuala Lumpur, Johor (Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai dan Pontian) dan Sabah (Kota Belud, Kota Kinabalu, Penampang dan Papar, Sandakan dan Tawau).

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca daripada laman sesawang JMM iaitu www.met.gov.my atau menerusi aplikasi mobil myCuaca, laman facebook: malaysiamet, twitter: @malaysianmet atau MetMalaysia Hotline di talian 1 300 22 1MET (1638).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2017 @ 3:21 AM