Tun Razak Exchange (TRX)
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


PROJEK pembangunan Tun Razak Exchange (TRX) Lifestyle Quarter (LQ) berjaya memperoleh kelulusan pembangunan dan kini memasuki fasa pembinaan hasil kerjasama antara syarikat pemajunya, Lendlease Projects (M) Sdn Bhd (Lendlease) dengan TRX City Sdn Bhd serta rakan-rakan kerjasama tempatan.

Apabila siap nanti, TRX LQ yang terletak di kawasan strategik di tengah-tengah ibu negara bakal mengukuhkan lagi peranan Kuala Lumpur sebagai hab perniagaan dan kewangan utama yang menawarkan perkhidmatan untuk seluruh Malaysia dan Asia Tenggara.

Kelulusan itu termasuk Pelan Kerja Tanah daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menjalankan kerja-kerja pembinaan yang sudah dimulakan sejak Jun lalu.

Lendlease, syarikat pembangunan hartanah terkemuka berpangkalan di Sydney, Australia berkata, reka bentuk pembangunan TRX LQ adalah hasil kerjasama lebih daripada 100 arkitek, jurutera dan perunding terkemuka dari Malaysia serta firma antarabangsa terpilih.

Menurut kenyataan syarikat itu, hasilnya lebih daripada 5,000 lukisan projek yang bermodelkan sistem Permodelan Informasi Bangunan (BIM) yang canggih dapat diperoleh.

“Dengan memperoleh kelulusan penting itu, kerja pembinaan di TRX LQ, projek pembangunan bercampur bersepadu di kawasan seluas 6.8 hektar di tengah-tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur merangkumi pusat beli-belah dan peruncitan baru, enam menara kediaman, sebuah hotel mewah dan taman kini berjalan lancar.

“Kerja-kerja penggalian sudah selesai dengan 700,000 meter padu batu dan tanah sudah dikeluarkan. Kerja pemasangan cerucuk bagi komponen runcit kini giat dijalankan dengan hampir 500 cerucuk sudah siap dilaksanakan,” kata syarikat itu baru-baru ini.

Kemajuan dicapai oleh Lendlease itu sejajar dengan wawasan kerajaan bagi membangunkan projek bersepadu terbesar di Asia yang tersergam di tengah-tengah pembangunan TRX yang bakal menjadi pusat kewangan baru Kuala Lumpur.

Projek TRX LQ bakal menawarkan destinasi runcit berskala besar dengan ruang boleh sewa bersih berjumlah 1.3 juta kaki persegi manakala dari segi penyewaan lot niaga runcit pula, The Exchange TRX setakat ini sudah menyewakan 26 peratus daripada ruang runcit termasuk kepada Seibu, gedung serbaneka terkemuka Jepun yang baru di pasaran Malaysia; sebuah jenama pasar raya mewah milik Dairy Farm Group dari Hong Kong serta konsep baru dalam pawagam dan hiburan oleh Golden Screen Cinemas (GSC).

Seibu yang terkenal kerana tawaran produk antarabangsa bakal membawakan sentuhan jenama terkenal Jepun kepada The Exchange TRX, sekali gus menawarkan pengalaman membeli-belah serba baru kepada pengunjung.

Ia bakal menempatkan lebih 500 kedai, restoran, pusat hiburan dan riadah, sekali gus menjadi destinasi runcit terulung di Malaysia. Pusat beli-belah berkenaan dijangka dibuka kepada pelanggan menjelang 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2017 @ 1:12 PM