Tiga individu dibebaskan dengan jaminan oleh Mahkamah Majistret Putrajaya selepas direman seminggu berkaitan isu penyelewengan dana RM40 juta. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


KETUA Eksekutif Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bergelar Datuk berusia 58 tahun dan Setiausaha PTPK berumur 34 tahun dibebaskan dengan jaminan RM100,000 setiap seorang, hari ini.

Mereka ditahan bagi membantu siasatan penyelewengan wang peruntukan disalurkan kepada perbadanan itu.

Selain itu, seorang pengarah sebuah syarikat berusia 38 tahun yang mempunyai gelaran doktor dibebaskan dengan jaminan tunai RM28,000.

Jaminan dan bebas reman terhadap ketiga-tiga individu terbabit dibenarkan oleh Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Mereka ditahan di beberapa lokasi di Kuala Lumpur antara 4.30 hingga 6 petang pada 13 September lalu dalam satu operasi dilancarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Seorang lagi yang ditahan pada hari berkenaan ialah Penolong Pegawai Kewangan PTPK berusia 32 tahun dan dia dibebaskan semalam, selepas tempoh reman terhadapnya tamat.

Terdahulu, pihak SPRM memohon jaminan tunai RM50,000 terhadap pengarah syarikat berkenaan dan majistret membenarkan RM28,000.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, sumber dilaporkan berkata, ketiga-tiga pegawai PTPK itu dipercayai bersubahat dengan pengarah syarikat terbabit untuk menyeleweng wang diperuntukkan oleh kerajaan persekutuan bagi mengendalikan program latihan kemahiran kepada mereka yang tidak mempunyai pekerjaan.

Katanya, berdasarkan maklumat awal, keempat-empat suspek dipercayai menyeleweng hampir RM40 juta pada 2016 dan 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2017 @ 11:26 AM