DR Janson (belakang, enam kanan) bersama penaja Fesyen Demi Kasih Sayang.
HM Digital

Kuala Lumpur: Prihatin dengan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan membuatkan pereka fesyen terkenal, Bon Zainal mengambil peluang membabitkan diri dalam projek Fesyen Demi Kasih Sayang.

Katanya, lima anak yatim dan seorang model memperagakan enam koleksi baju-T direka khas pada malam gala projek itu pada 8 Oktober ini di Pusat Konvensyen HGH bermula jam 6 petang.

“Setiap wang hasil jualan baju itu disalurkan kepada tabung Fesyen Demi Kasih Sayang bagi menambah dana.

“Saya berminat menyertai projek ini kerana semua orang mempunyai hak sama dalam pendidikan, mereka hanya perlu peluang dan sokongan untuk berjaya,” katanya selepas sidang media malam gala Fesyen Demi Kasih Sayang, di sini, semalam.

Selain Bon Zainal, antara pereka lain yang terbabit projek anjuran Creight Events itu ialah Ashley, Dominique Chan dan Orson Liyu untuk mengutip dana bantuan pelajaran bagi meringankan beban ibu bapa dan pelajar kurang berkemampuan bagi memastikan tidak ada yang tercicir menerima pendidikan berkualiti.

Sementara itu, badan bukan kerajaan (NGO) iaitu The Giving Bank (TGB) sebagai pengumpul dana mengumpul sumbangan RM2.05 juta setakat ini untuk membantu 400 pelajar miskin.

Projek dilancarkan sejak Ogos lalu bertujuan membantu murid sekolah rendah dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak mampu meneruskan pengajian kerana masalah kewangan.

Pengasas TGB, Dr Janson Ang berkata, 300 pelajar daripada 12 sekolah terpilih di luar bandar seluruh negara menerima RM500 seorang bagi membantu pembiayaan yuran sekolah, uniform, buku dan peralatan sekolah.

Katanya, 100 lepasan SPM pula menerima biasiswa RM20,000 seorang untuk melanjutkan pengajian di peringkat Diploma Perniagaan di kolej swasta terpilih.

“Setakat ini, kami kekurangan dana RM100,000, dan malam gala itu nanti antara platform kami menambah dana.

“Pengagihan sumbangan dijadual hujung Oktober iaitu sebelum sesi persekolahan bermula, manakala sumbangan RM21,000 disalurkan ke tujuh rumah amal dan anak yatim bagi membantu keperluan asas mereka seperti makanan, perubatan dan pakaian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2017 @ 4:51 AM