ARIFFIN (tengah) menceritakan keadaan dia ditahan kepada Pengerusi Persatuan Nelayan Terengganu, Mat Yassim Mohamed (kanan). FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


NELAYAN yang ditahan hampir lima bulan kerana didakwa menceroboh perairan Indonesia pada April lalu selamat tiba di rumahnya di Kampung Seberang Pintasan Dungun semalam, selepas dibebaskan pada Selasa.

Ariffin Kasim, 58, yang ditahan di Pusat Tahanan Perikanan di Tarempa Kepulauan Anambas, Riau dijemput Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Terengganu, Mat Yasir Mohamed di pusat tahanan berkenaan dan tiba di rumahnya pada 10 pagi.

Sebelum itu, Ariffin ditahan bersama tiga lagi rakannya iaitu Roslin Awi, 40, dan Mohammad Zamri A Rahman, 44, serta tekong bot, Kamaruzaman Awi, 46, selepas didakwa menceroboh perairan negara itu pada 16 April lalu.

Menurut Ariffin, dia bersyukur apabila dibebaskan manakala Roslin dan Mohammad Zamri masih ditahan kerana perlu menjadi saksi perbicaraan Kamaruzaman.

"Saya tidak tahu bagaimana nasib mereka dan sampai bila mereka akan ditahan di sana. Saya cuma berharap mereka segera dibebaskan," katanya.

Ariffin berkata, sepanjang lima bulan ditahan, mereka hanya diberi beras dan perlu mencari sendiri bahan yang lain untuk makan.

"Kami terpaksa menahan ikan di tepi pusat tahanan. Ada juga penduduk yang simpati dengan kami dan memberikan ikan untuk dijadikan lauk.

"Selain kami, terdapat lebih 50 orang asing ditahan tetapi kami tidak boleh menumpang makanan mereka kerana mereka ini makan apa sahaja termasuk biawak untuk dijadikan lauk.

"Malah, kami tidak boleh bermewah dan terpaksa mengehadkan perbelanjaan yang dihantar ahli keluarga selain terpaksa mengutip tumbuh-tumbuhan yang ada untuk dijadikan sayur dan ulaman," katanya.

Menurutnya, dia turut berterima kasih di atas bantuan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Persatuan Nelayan Negeri Terengganu dan kawasan Dungun serta Kedutaan Malaysia dan Indonesia yang banyak membantu.

Akhbar sebelum ini melaporkan empat nelayan ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas dipercayai menceroboh perairan negara berkenaan pada April lalu.

#kw nelayan dibebaskan selepas lima bulan ditahan

#loc 4.7548759999999994, 103.4155861

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2017 @ 1:25 AM