ANTARA pelajar yang disyaki ponteng dan ditahan dalam operasi itu. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
Mohd Ruzaini Zulkepli
hmkk@hmetro.com.my


SERAMAI 18 pelajar sekolah menengah ditahan polis selepas disyaki ponteng sekolah dalam operasi bersepadu di pusat beli-belah dan lokasi tumpuan umum di daerah Putatan, semalam.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Rosley Hobden berkata, semua pelajar berkenaan ditahan bersempena Op Bersepadu Pelajar Ponteng Sekolah Daerah Penampang dengan membabitkan tiga lokasi iaitu pusat beli-belah One Place Mall, pasar raya Giant dan Standart di daerah Putatan.

Beliau berkata, operasi itu bermula pada 11 pagi hingga 1.30 petang membabitkan anggota polis, guru sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Penampang, Majlis Daerah Putatan, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

"Sepanjang operasi itu dilakukan kita menahan 18 pelajar yang disyaki ponteng sekolah di tiga lokasi berasingan di daerah Putatan.

"Daripada jumlah pelajar itu, 14 pelajar menjalani ujian air kencing oleh pihak AADK namun semuanya negatif dadah," katanya, hari ini.

Rosley berkata, semua pelajar yang ditahan dalam operasi itu sudah diserahkan kepada PPD Penampang untuk tindakan selanjutnya.

"Antara tujuan Op Bersepadu Pelajar Ponteng Sekolah Daerah Penampang ini dilakukan adalah memberi kesedaran kepada pelajar supaya menghindari budaya ponteng sekolah.

"Ia juga sebagai langkah komprehensif daripada pelbagai pihak dan agensi untuk mencegah isu ponteng sekolah dalam kalangan pelajar di daerah ini terus meningkat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 1:27 PM