LEMBU yang mati dilanggar lori tangki di Jalan Pintas Bahau-Rompin di Bandar IOI, kelmarin.
Abnor Hamizam Abd Manap
am@hmetro.com.my

Bahau: “Ada lembu perut terburai dan ada yang patah tulang tengkuk,” kata saksi dikenali sebagai Azman, 40, ketika menceritakan kejadian tujuh lembu mati bergelimpangan selepas dirempuh lori tangki di Jalan Pintas Bahau-Rompin dekat Bandar IOI, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam, sekawan lembu dipercayai keluar dari ladang sawit berhampiran lalu melintas di jalan berkenaan.

Azman berkata, dia yang baru tiba di lokasi melihat tujuh lembu bergelimpangan termasuk ada yang hancur dipercayai digilis lori.

“Orang ramai mula memenuhi lokasi kejadian dan ada yang cuba mengalih haiwan itu ke tepi jalan bagi mengelak dirempuh kenderaan lain,” katanya yang kesal dengan tindakan pemilik membiarkan haiwan ternakan berkeliaran.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Jempol Deputi Superintendan Azham Shah Azlan berkata, kejadian berlaku ketika lori dipandu lelaki berusia 54 tahun dari Pasir Gudang, Johor menuju Serting, Bandar Seri Jempol.

“Sebaik tiba di lokasi, sekumpulan lembu melintas menyebabkan pemandu lori terbabit tidak sempat mengelak lalu merempuhnya, bagaimanapun pemandu lori tangki itu tidak cedera,” katanya.

Difahamkan, bangkai haiwan terbabit dialihkan Majlis Daerah Jempol (MDJL) dan ditanam berhampiran ladang sawit berkenaan.

Dalam pada itu, Yang Dipertua MDJL Zazali Salehudin berkata, pihaknya akan bertindak tegas terhadap mana-mana pemilik haiwan ternakan yang berkeliaran termasuk dirampas mengikut Seksyen 12 Undang-Undang Kecil Kawalan Lembu-Kerbau 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 4:59 AM