RUMAH didiami tujuh sekeluarga musnah dalam kebakaran.
Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

Johor Bahru: “Saya terasa bahang namun tidak menjangka ia berpunca daripada kebakaran di bahagian hadapan rumah,” kata suri rumah, Anis Aniza Temyati, 26, mangsa kebakaran rumah di Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram, di sini, kelmarin.

Kejadian jam 9 pagi itu menyebabkan lebih 80 peratus rumah yang didiami tujuh sekeluarga itu musnah, sekali gus hilang tempat berteduh.

Anis berkata, ketika kejadian dia berada di bilik tidurnya manakala suami, Shahrizan Ismail, 30, keluar bekerja sebagai pemandu Grab Car dan ibunya, Asmah Salim, 63, berada di tempat kerjanya di restoran di Ulu Tiram.

“Apabila curiga dengan bahang panas di dalam bilik tidur, saya keluar untuk menyiasat dan terkejut apabila mendapati ruang tamu terbakar.

“Saya terus menyelamatkan tiga anak dan mengejutkan abang yang masih tidur di biliknya. Kami keluar menerusi pintu belakang namun tidak sempat menyelamatkan beberapa dokumen serta barangan berharga kerana api marak dengan cepat,” katanya.

Menurutnya, tidak lama kemudian jentera bomba tiba dan menjalankan usaha memadam kebakaran namun lebih 80 peratus rumah musnah dijilat api.

Sementara itu, Asmah berkata, kejadian berkenaan mengakibatkan keluarganya kehilangan tempat tinggal dan terpaksa berteduh di rumah anaknya di Kampung Oren dekat sini buat sementara waktu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 4:42 AM