TERTUDUH dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


Kajang: Bapa kepada empat anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas enam pertuduhan mencabul anak perempuan sulungnya berusia 14 tahun sejak enam bulan lalu.

Tertuduh yang juga pekebun berusia 37 tahun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di depan Hakim Surita Budin.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, tertuduh didakwa dengan sengaja mencabul kehormatan anak sulungnya itu dengan cara memeluk dari arah depan, meraba sambil meramas kedua-dua buah dada.

Selain itu, tertuduh memasukkan tangannya di dalam seluar dalam mangsa sambil meraba alat sulit anaknya itu.

Tertuduh melakukan perbuatan itu antara Mac hingga Ogos lalu pada jam 4 petang di sebuah rumah di Jalan Kesuma 1/4, Bandar Tasik Kesuma, Beranang, di sini.

Bagi pertuduhan keenam, tertuduh didakwa dengan sengaja menyentuh mana-mana bahagian badan anaknya dengan cara memeluk dari arah belakang dan memegang sambil meramas kedua-dua buah dada mangsa.

Perbuatan itu dilakukan di atas motosikal dalam perjalanan dari sebuah sekolah menengah menuju ke rumahya pada waktu sama, Ogos lalu.

Semua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Seksual Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana mangsa adalah anak kandung tertuduh.

“Ekoran kejadian ini, mangsa yang kini dalam pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengalami tekanan sehingga dia mengelar pergelangan tangannya dan menerima rawatan di hospital,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 4:19 AM