PELARIAN Rohingya membina khemah di Ukhiya, Bangladesh, selepas melarikan diri dari Rakhine.
Amir Abd Hamid
amir_hamid@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (MERHROM) meragui tawaran pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi yang mahu mengembalikan hak pelarian Rohingya sebab keganasan tentera junta masih berlaku sehingga kini.

Presidennya MERHROM Zafar Ahmad Abdul Ghani berkata, hak asasi masyarakat Rohingya sepatutnya diberikan dulu kepada mereka yang tinggal di Myanmar membabitkan hampir dua juta orang, namun apa berlaku sejak 25 Ogos lalu ialah rakyat mereka dibunuh.

Malah, Zafar menjelaskan bahawa beliau mendapat laporan pihak junta membakar tiga lagi kampung di daerah Bauthidung.

“Tawaran diberikan Suu Kyi tidak selaras dengan apa genocide (penghapusan etnik) yang berlaku di Myanmar terhadap masyarakat kami sejak sekian lama.

“Janji sama pernah dibuat pihak junta pada 1979 hingga 1980-an. Ribuan pelarian Rohingya balik sebab kononnya ada perjanjian antara Myanmar dan Bangladesh dengan tawaran pemberian hak.

“Sebahagian besar mereka akhirnya dibawa ke kem tentera dan masih ada yang dipenjara hingga tua. Begitu juga antara 1995-1996 apabila junta membawa pulang 300 Rohingya dari kem di Bangladesh, tetapi yang dibawa balik itu semuanya hilang.

“Sekitar 2004-2005 pula jeneral tentera ambil masyarakat Rohingya dari penempatan pelarian di Bangladesh dan paling menyedihkan lebih 100 orang diletakkan di penjara,” katanya.

Kelmarin, Suu Kyi yang juga Kaunselor Negara Myanmar dalam ucapan setengah jam yang disiar stesen televisyen negara itu berikrar mahu mengembalikan semula hak 410,000 pelarian Rohingya yang melarikan diri dalam operasi pengusiran tenteranya.

Mengulas lanjut mengenai tawaran itu, Zafar berkata, sebarang perjanjian mengenai nasib rakyat Myanmar berketurunan etnik Rohingya beragama Islam dengan pengiktirafan sewajarnya dilakukan dengan dokumentasi lengkap di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Pasukan tentera pengaman PBB perlu dihantar dulu di kawasan bergolak bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.

“Jaminan tentera PBB dan barulah kita balik ke negara asal. Macam mana kita datang Malaysia dan begitulah juga kita boleh balik ke tanah air sendiri.

“Bohong jika mengatakan kami tidak rindu keluarga dan tanah air. Tak payah suruh balik sebab kami sukarela akan pulang andainya ada jaminan...ini kita balik (Myanmar) hanya untuk hantar nyawa buat apa?” katanya.

Menurutnya, kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Eropah, Jepun dan China serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), selain ASEAN perlu campur tangan menghentikan kekejaman di Myanmar yang sehingga kini merunsingkan negara tetangga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 3:17 AM