Keadaan kereta mangsa. FOTO ihsan pembaca
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


LELAKI berusia 57 tahun maut dipercayai terkena serangan jantung ketika memandu keretanya sebelum bertembung dengan lori di jalan Sekolah Menengah Kebangsaan Pak Badol, Bachok, hari ini.

Dalam kejadian jam 2.15 petang itu mangsa Ya Yaacob, 57, maut di tempat kejadian.

Mayat dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian dan disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.

Ketua Polis Daerah Bachok Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, sebelum kejadian mangsa memandu kereta Perodua Viva dari arah Melor ke rumahnya di Kampung Kedai Menanti, Pasir Puteh.

Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, kereta mangsa secara tiba-tiba masuk ke laluan bertentangan.

"Pada masa yang sama lori yang datang dari arah bertentangan cuba mengelak ke kiri. Namun kereta itu terus menuju ke arah lori itu dan bertembung.

"Mangsa dikatakan berada dalam keadaan sesak nafas sebelum meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Pemeriksaan terhadap mayat mangsa tidak menemui sebarang kecederaan dan pendarahan sebelum dibawa ke HUSM untuk bedah siasat" katanya.

Menurutnya, pihaknya percaya mangsa terkena serangan jantung ketika sedang memandu sebelum berlaku kemalangan itu.

"Laporan bedah siasat mengesahkan mangsa maut akibat serangan jantung.

" Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 1:09 AM