GAMBAR hiasan
Aizat Sharif
mohd.aizat@hmetro.com.my


ENAM lelaki ditahan semalam kerana dipercayai terbabit dengan pelbagai kegiatan jenayah di sekitar Kulim dan Sungai Petani.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Athrash berkata, suspek berusia antara 23 hingga 28 tahun berkenaan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim dan IPD Kuala Muda.

"Empat daripada mereka ditahan di IPD Kulim manakala dua lagi ditahan di IPD Kuala Muda di Sungai Petani.

"Mereka ditahan kerana dipercayai terbabit dengan kegiatan jenayah berbentuk kekerasan seperti ugutan jenayah, mencederakan mangsa menggunakan senjata tajam serta merosakkan harta benda milik mangsa mereka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, ugutan jenayah yang mereka dipercayai lakukan didapati mengancam nyawa serta menggugat ketenteraman awam.

"Semua suspek direman sehingga 21 hari bermula hari ini sehingga 10 Oktober untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Jenayah 1959.

"Waran reman dikeluarkan oleh Hakim Zulhazmi Abdullah selepas mereka dibawa ke Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengaitkan tangkapan suspek berkenaan dengan kumpulam kongsi gelap serta kejadian merusuh dan memukul pemuda 21 tahun di medan selera di Pekan Kulim yang tular di media sosial pada 14 September lalu.

Dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, sekumpulan lelaki dikatakan memukul lelaki yang ketika itu sedang minum bersama beberapa lagi rakannya.

Difahamkan, kejadian dipercayai berlaku akibat kumpulan lelaki itu tidak puas hati selepas mangsa memandang ke arah seorang daripada lelaki dalam kumpulan berkenaan.

Mangsa kemudian dibelasah sehingga luka pada kepala dan terpaksa menerima 13 jahitan selain mengalami kehilangan barangan peribadi seperti kad pengenalan, lesen memandu, kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan wang tunai berjumlah RM50.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2017 @ 10:26 PM