NOR Maliyani
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


Kota Bharu: “Jangan main-main dengan kesalahan ini kerana ia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda,” kata Majistret Nik Habri Muhamad di Mahkamah Majistret Kota Bharu, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika memberi nasihat kepada tertuduh, Nor Maliyani Mat Nor, 22, yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan mencuri beberapa kelengkapan diri dan makanan bernilai RM168.35 di sebuah pasar raya, awal bulan ini.

Nik Habri kemudian menjatuhkan hukuman penjara 13 hari dan denda RM1,500 terhadap tertuduh.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh ditangkap pada 7 September lalu.

Nik Habri berkata, berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada, setiap pesalah bagi kesalahan mencuri di dalam bangunan diwajibkan dipenjara.

“Saya beritahu ini supaya kamu dan orang awam tahu dan ambil pengajaran supaya tidak ulangi kesalahan sama pada masa hadapan,” katanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri beberapa kelengkapan diri dan makanan termasuk pencuci rambut, minyak wangi dan coklat di dalam sebuah pasar raya di daerah ini pada jam 9.40 malam, 7 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pengawal keselamatan di sebuah pasar raya menahan seorang wanita selepas didapati mencuri pelbagai barangan di pasar raya terbabit yang disorok di dalam beg kain.

Tertuduh kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2017 @ 4:56 AM