USS Coronado tiba di Pangkalan TLDM Lumut. FOTO L Manimaran
Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my


BUAT julung kalinya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Laut Amerika Syarikat (USN) mengadakan latihan ketenteraan menerusi Aktiviti Latihan Maritim (MTA) sehingga 26 September ini.

Seramai 500 pegawai dan anggota daripada kedua-dua pasukan mengadakan latihan ketenteraan bersama tanpa membabitkan perkhidmatan udara dan darat.

Ia dilaksanakan melalui konsep latihan di medan perang dengan keutaamaan diberikan terhadap keselamatan maritim dengan fasa pertama membabitkan Pelabuhan di Tambatan Pangkalan Lumut (TPL) bermula semalam sehingga 23 September dan kedua membabitkan aktiviti di laut daripada 24 hingga 26 September.

Timbalan Panglima Armada Barat TLDM, Laksamana Pertama Abu Bakar Mohd Ajis berkata, latihan itu diharap dapat memperkukuh lagi hubungan dua hala kedua-dua pasukan khususnya dalam memastikan keselamatan maritim serantau terus berkekalan.

"Hubungan dua hala serta latihan bersama antara TLDM dengan US Navy sebenarnya sudah bermula sejak 1995 yang turut membabitkan perkhidmatan lain menerusi Eksesais ‘Cooperation Afloat Readiness and Training’ (CARAT).

“Bagaimanapun, latihan ini adalah aktiviti pertama yang hanya membabitkan TLDM dan USN sahaja bagi menggantikan Eksesais CARAT tahun ini," katanya.

Abu Bakar berkata, lebih 400 pegawai dan anggota TLDM Lumut terbabit dalam latihan itu serta pembabitan aset Armada Barat iaitu Kapal Diraja (KD) Lekiu dan KD Lekir serta sebuah helikopter Super Lynx.


MEAGHER (kanan) memberi taklimat ketika lawatan media ke USS Coronado. FOTO L Manimaran

Sementara itu, Timbalan Laksamana Pertama (Commodore) Skuadron 7 Pemusnah (DESRON 7), Kapten Matthew Jerbi berkata, kira-kira 100 pegawai dan anggotanya menyertai latihan itu dengan aset terbabit ialah Kapal Tempur Pesisir (LCS4) USS Coronado bersama pesawat MH-60S.

Beliau berkata, sepanjang berada di sini, pegawai dan anggota pasukan itu akan turut terbabit dalam beberapa program kemasyarakatan bersama penduduk sekitar daerah Manjung.

"Ini adalah kunjungan pertama kali kapal USS Coronado ke Pangkalan TLDM Lumut dan kedua-dua pasukan akan terus mengekalkan kerjasama erat dan unik ini untuk terus berkembang menerusi latihan dua hala dan bersepadu," katanya.

Dalam pada itu, serentak dengan latihan berkenaan kumpulan pengamal media turut dibawa melawat sekitar ruang utama kapal tempur USS Coronado berkenaan.

Lawatan hampir sejam itu turut dihadiri Pegawai Pemerintah USS Coronado, Komander Douglas Meagher.

Meagher turut memberikan taklimat mengenai berberapa fungsi dan kemampuan kapal tempur berkenaan.

Katanya, antara keistimewaan kapal berkenaan adalah kemampuan berpusing 360 darjah serta merta selain struktur dalaman kapal berkenaan diliputi kerajang aluminium atau dicat dengan warna perak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2017 @ 1:31 AM