OTHMAN (tengah) bersama Pengurus Besar MADA, Datuk Fouzi Ali (kanan) meninjau pintu bekalan air pasang surut di Kampung Kelunchur,Kubang Rotan. FOTO Amran Hamid
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


PELABURAN negara di Amerika Syarikat (AS) menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi memastikan setiap ahli mendapat pulangan (dividen) yang setimpal.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz berkata, pelaburan terbabit adalah strategi korporat KWSP untuk memastikan pemegang amanah itu dapat mengimbangi portfolio pelaburan sama ada pelaburan tempatan, Asean dan antarabangsa.

“Sebagai satu agensi yang perlu memastikan ia boleh memberi pulangan yang munasabah kepada ahli KWSP, mereka perlulah melabur di pasaran yang lebih besar seperti di Amerika Syarikat.

“SOP KWSP cukup ketat sebelum nak melabur di luar negara, bukan sahaja fikir daripada segi pulangan tapi mereka juga mengkaji setiap risiko, jadi tak timbul isu Malaysia nak mahu bantu AS.

“Nak bantu apa, cuba fikir logik, pasaran ekonomi AS bernilai AS$3 trilion (RM12.56 trilion) hingga AS$4 trilion (RM16.75 trilion), kita hanya ambil peluang pelaburan yang boleh memberi keuntungan dan pulangan berbanding hanya melabur di dalam negara,” katanya selepas meninjau pintu bekalan air pasang surut di Kampung Kelunchur, Kubang Rotan yang terlibat dalam projek rancangan tebatan banjir, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pembangkang khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang mempertikai tindakan Malaysia menyokong pelaburan di AS.

Mengulas lanjut, Othman berkata, hal yang sama perlu dilalui Khazanah Nasional Berhad yang turut melabur dengan menyertai industri teknologi tinggi di AS.

“Mereka bukan sahaja melabur untuk mendapat keuntungan, namun dalam masa yang sama membawa pulang teknologi tinggi yang ada di negara itu… ada juga pelaburan yang dibuat tidak hanya membeli saham, ada yang dibuat dengan menyertai projek contohnya membeli bon untuk melaksana projek prasarana dan sebagainya. Dia macam setitik air dalam laut, yang penting startegik pelaburan boleh beri pulangan,” katanya.

Beliau turut menyangkal dakwaan Ketua Penerangan PPBM Kedah, Datuk Azimi Daim menerusi laman sosial kononnya lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke AS yang disifatkan sekadar propaganda untuk memperlihat AS menyokong PM bagi menutup isu yang disiasat Badan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).

Katanya, dakwaan itu sekadar mainan politik parti terbabit yang bermain dengan persepsi semata-mata untuk mengaburi mata masyarakat.

“Mana mungkin AS dan Malaysia berpisah hubungan antarabangsa sama ada daripada segi keselamatan, pelaburan dan ekonomi. Sudah 60 tahun Malaysia dan AS jadi rakan dagang yang strategik, sudah menjadi tanggungjawab pemimpin untuk meningkatkan pelaburan dan menggamit pelabur ke negara kita.

“Dia boleh kata apa saja, mereka boleh cipta isu itu ini dan biarkanlah mereka terus bermain, saya yakin rakyat faham isu sebenar,” jelas beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2017 @ 4:48 PM