Lee How Kim didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya. FOTO Sarah Zulkifli
Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


SEORANG lelaki yang tular selepas memuat naik status di Facebook menyatakan ketidakpuasan hati terhadap tindakan saman dikenakan anggota polis trafik di Seri Kembangan, didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini.

Tertuduh, Lee How Kim, 26, kontraktor dijatuhkan hukuman itu selepas dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Salamiah Salleh.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan aplikasi FB atas nama Raymond Lee secara sedar telah memuat naik gambar borang saman trafik dan gambar cermin pintu kereta yang ditampal dengan penghadang cahaya.

Selain itu, dia juga memulakan penghantaran komen palsu dengan niat menganiaya orang lain di nombor 70, PUJ 9, Bandar Putera Permai, Seri Kembangan, jam 4.10 petang pada 6 September lalu.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Mengikut fakta kes, hasil siasatan mendapati bahawa akaun Facebook bernama Raymond Lee adalah milik tertuduh seperti disahkan oleh rakan-rakannya.

Laporan analisa Digital Forensik mengesahkan bahawa telefon bimbit yang dirampas tertuduh terdapat gambar buang saman trafik dan gambar cermin pintu kereta.

Baru-baru ini, pihak polis menafikan mengeluarkan saman terhadap kesalahan 'tampal sesuatu pada cermin' seperti yang tular di FB.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, pihaknya mengesan status tular di FB menyatakan ketidakpuasan hati terhadap tindakan saman dikenakan anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang atas kesalahan 'tampal sesuatu pada cermin’€™.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2017 @ 2:43 PM