PENGURUS Besar Persatuan Nelayan Kawasan Dungun, Mohd Izzham Faruza Mohd Nazur (kanan) dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Dungun, Alauddin Ali melawat Farizon selepas suaminya Kamaruzaman ditahan di Indonesia.
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


Dungun: “Saya berharap suami diberi pengampunan dan dibebaskan segera kerana amat merinduinya. Bayangkan, suami turun ke laut kira-kira dua minggu selepas kami berkahwin sebelum ditahan,” kata Farizon Engah, 42, isteri Kamaruzaman Awi, 46, tekong bot yang ditahan di Indonesia kerana didakwa menceroboh perairan negara itu sejak April lalu.

Selain Kamaruzaman, tiga lagi awak-awaknya iaitu adiknya, Roslin, 40, sepupunya Mohammad Zamri A Rahman, 46, dan rakannya, Ariffin Kasim, 58, ditahan selepas didakwa menceroboh kawasan perairan Riau, Indonesia pada 16 April lalu sebelum mereka ditahan di Pusat Tahanan Perikanan di Tarempa, Kepulauan Anambas Riau.

Farizon berkata, dia berkahwin dengan Kamaruzaman pada 1 April lalu sebelum suaminya meminta izin untuk turun ke laut.

“Suami (Kamaruzaman) beritahu dia terpaksa turun ke laut kerana sudah lama bercuti dan terpaksa mencari rezeki untuk keluarga kami.

“Dia ada menghubungi saya beberapa kali, namun saya mula risau selepas tidak menerima panggilannya dan kebimbangan itu terjawab apabila dimaklumkan mengenai penahanan suami dan tiga yang lain, ” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kuala Abang, dekat sini, semalam.

Menurut Farizon, dia terkejut apabila menerima panggilan daripada seorang warga Indonesia memaklumkan suami ditahan bersama tiga yang lain.

“Bagaimanapun, saya dimaklumkan hasil bantuan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) bahawa tiga awak-awak sudah dibebaskan dan mereka dalam proses untuk dihantar balik.

“Dengan bantuan seorang penduduk di sana (Riau), saya sering berhubung dengan suami dan dia memaklumkan belum dibebaskan kerana akan dihadapkan ke mahkamah.

“Suami sendiri tidak pasti bila kesnya akan dihadapkan di mahkamah, tetapi dia memaklumkan mungkin akan menjalani hukuman penjara yang lama,” katanya.

Farizon mendakwa suaminya memaklumkan dia masih berada dalam perairan Malaysia berdasarkan alat Sistem Kedudukan Global (GPS) ketika ditahan.

Katanya, suaminya turut memaklumkan dia sering menangkap ikan di kawasan berkenaan kerana masih jauh dari perairan Indonesia.

“Saya sangat berharap agar kerajaan Malaysia dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi suami.

“Kami orang miskin dan tidak berpendidikan tinggi. Saya sudah buntu memikirkan cara untuk membantu suami dan tidak tahu kepada siapa tempat untuk kami mengadu,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan empat nelayan ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas dipercayai menceroboh perairan negara berkenaan pada April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2017 @ 11:07 AM