GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


PELAJAR madrasah tahfiz di Kampung Raja, Besut bukan hanya dipukul dua gurunya menggunakan rotan tetapi turut ditendang selepas dituduh mencuri duit pelajar lain.

Dalam kejadian kira-kira 11 malam semalam, mangsa berusia 12 tahun cedera di belakang badan dan lengan akibat dipukul suspek kerana tidak mengaku terbabit dalam kes curi itu.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, mangsa dipanggil dua gurunya sebelum diarah masuk ke bilik warden di masdrasah berkenaan.

Beliau berkata, dua guru terbabit menyoal mangsa mengenai kes kecurian itu namun, mangsa menafikan menyebabkan dia dipukul hingga cedera di badan dan lengan.

"Susulan kejadian itu, mangsa bersama ahli keluarganya membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja sebelum dibawa ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut namun mangsa tidak mengalami kecederaan yang serius.

"Kita menahan guru madrasah berusia 26 tahun yang dipercayai berada di dalam bilik warden untuk siasatan lanjut.

"Selain itu, kita turut mengesan seorang lagi guru yang dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan," katanya.

Mohd Zamri berkata, pihaknya turut merampas rotan yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2017 @ 5:12 PM