Kemalangan mengorbankan lelaki di Jalan Sungai Sri Aman-Kuching berhampiran Sungai Tengang, di Serian, pagi hari ini.FOTO ihsan bomba
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


LELAKI maut selepas van yang dinaiki bersama enam lagi penumpang terbabas di Jalan Sungai Sri Aman-Kuching berhampiran Sungai Tengang, di Serian, pagi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 8.40 pagi itu mangsa Edmund Mangoi Budin, 49, disahkan maut akibat parah di kepala.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari orang awam jam 8.45 pagi sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Serian dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya,mangsa yang juga penumpang dikatakan maut selepas tercampak ke bahagian belakang van akibat kejadian itu.

Beliau berkata, van berkenaan dinaiki mangsa bersama enam lagi penumpang dari arah Kuching menuju Betong.

"Van berkenaan dipercayai gagal dikawal sebelum terbabas dan terperosok ke tepi parit di bahu kanan jalan.

"Enam lagi penumpang dan pemandu van bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan dan berjaya keluar dari van," katanya.

Katanya, pemeriksaan pasukan perubatan mengesahkan mangsa maut di lokasi kejadian dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Ling Hii berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serian untuk bedah siasat manakal penumpang yang cedera mendapatkan rawatan lanjut di hospital sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2017 @ 12:36 PM