Salman ketika ditemu bual wartawan.

Melaka: “Saya tidak pernah beri ibu dan adik-adik makan duit haram.

“Saya beri mereka wang hasil titik peluh dengan bekerja sebagai penghantar surat,” kata Salman, 20, (bukan nama sebenar) yang ditahan di Sekolah Integriti Kajang, Selangor, selepas didapati bersalah melakukan rompakan bersenjata berkumpulan pada 2015.

Salman berasal dari Perak berkata, walaupun sedar perbuatannya itu menyalahi undang-undang, namun dia terpaksa bertindak sedemikian kerana terdesak untuk mendapatkan wang berikutan kesempitan hidup.

Pemuda itu berkata, dia tertekan selepas ibu bapanya berpisah dan sebagai anak lelaki dia mahu membantu meringankan beban ibu menyara keluarga dengan mengharapkan gaji sebagai kerani yang tidak seberapa.

“Saya ditangkap selepas merompak hotel di Seri Petaling, Kuala Lumpur dan waktu itu, keluarga tinggal di Sungai Besi.

“Itu bukan kali pertama saya terbabit dalam aktiviti jenayah, namun dalam kejadian berkenaan saya ditangkap.

“Seawal usia 15 tahun saya bersama beberapa lagi rakan sudah berani melakukan rompakan bersenjata. Selepas ditangkap saya berkata pada diri sendiri inilah pengalaman perlu dijadikan pengajaran kepada diri sendiri,” katanya yang ditemui selepas Program Ekspresi Kesenian dan Kebudayaan Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di Ayer Keroh, di sini, kelmarin.

Dia yang dijatuhi hukuman penjara bernasib baik kerana dikategorikan sebagai banduan muda, lalu mendapat peluang kedua meneruskan pelajaran di Sekolah Integriti dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

“Lebih kurang lima bulan lagi saya akan dibebaskan. Selepas ini saya bertekad tidak mahu jumpa lagi rakan lama, sebaliknya mahu bekerja dan luangkan masa bersama keluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2017 @ 6:48 AM