KETUA Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Seri Subromaniam Tholasy. FOTO Mohd Azren Jamaluddin
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) hanya boleh mengambil tindakan terhadap enam pegawai jabatan itu yang bertugas di KLIA ditahan polis selepas dipercayai bersekongkol dengan kumpulan kongsi gelap Geng 360 Devan melepaskan dadah diseludup ke negara ini selepas memperoleh laporan mengenainya.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Subramaniam Tholasy berkata, pihaknya tidak menerima laporan polis berhubung kes tangkapan pada Ogos lalu selain pegawai berkenaan sedang bercuti.

"Saya hanya boleh mengambil tindakan selepas menerima laporan dan masih menunggu laporan polis.

"Buat masa ini pegawai yang terbabit tidak bertugas dan kami turut menjalankan siasatan dalaman diperingkat Kastam," katanya.

Mengulas lanjut katanya, semua pegawai berkenaan sudah dilepaskan dengan jaminan polis.

Pada awal Ogos lalu enam pegawai JKDM yang bertugas di KLIA ditahan polis selepas dipercayai bersekongkol dengan kumpulan kongsi gelap Geng 360 Devan melepaskan dadah diseludup ke negara ini.

Mereka turut dipercayai terbabit melepaskan kemasukan bahan mentah memproses dadah.

Berdasarkan siasatan awal, suspek menerima imbuhan daripada Geng 360 yang aktif dalam penyeludupan dan pengedaran dadah di negara ini, sekurang-kurangnya sejak setahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 1:49 PM