RAMESH (kiri) menunjukkan antara beg tiruan yang dirampas dalam operasi semalam. FOTO ihsan KPDNKK
Nur Izzati Izzah Nadzi
am@hmetro.com.my


KPDNKK merampas 67 beg tangan wanita, beg silang dan dompet tiruan dalam operasi di sebuah premis petang semalam.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNKK Kuala Selangor, K Ramesh berkata, rampasan dianggarkan bernilai RM4,700.

Beliau berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan wakil cap dagang berhubung penjualan produk tiruan itu yang dijual secara dalam talian.

"Operasi dijalankan selepas kami menerima aduan wakil cap dagang Bonia dan Carlo Rino yang mendakwa terdapat jualan barangan tiruan beg tangan jenama berkenaan di sebuah premis di sini melalui tempahan dalam talian.

"Operasi jam 2 petang itu turut disertai wakil cap dagang berkenaan dan kami merampas 67 unit beg tangan wanita, beg silang dan dompet bernilai RM4,700," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 10:43 AM