ZAMBRI (kanan) berbincang dengan Mohammed Farouque. FOTO Yusmizal Dolah Aling
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


SATU jelajah keamanan akan dianjurkan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) bersama Belia Rohingya (RY) akan diadakan hujung bulan ini dalam usaha memberi kesedaran kepada generasi muda di negara ini.

Presidennya Zambri Mohd Isa berkata, pihaknya akan membawa isu yang sedang hangat ketika ini untuk belia negara ini melihat isu kemanusiaan itu dalam perspektif negara ini.

Katanya, jelajah yang turut disertai Presiden RY, Mohammed Farouque Lal Mohammed itu akan berkongsi kisah pelarian Rohingya yang sengsara ekoran operasi ketenteraan sejak 25 Ogos lalu.

"Menerusi kerjasama itu, kita harapkan situasi menang-menang di mana rakan-rakan BY juga berpeluang mengikuti kursus asas seperti perundangan, dan hak asasi. GPMS akan membantu menerusi platform sedia ada," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Zambri bertemu Mohammed Farouque hari ini susulan sidang media Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengenai Rohingya minggu lalu.

Sementara itu, Mohammed Farouque berkata, beliau juga sudah mengadakan pertemuan dengan Khairy awal tahun lalu bagi membincangkan isu generasi muda Rohingya di negara ini.

"Saya ucapkan terima kasih kepada GPMS kerana memberi satu sudut pandang mengenai masa depan kami. Banyak lagi bantuan yang kami harapkan. Anda semua adalah sahabat dan saudara kami. Doakan kami dapat melalui saat genting ketika ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2017 @ 6:09 PM