PELAJAR membacakan Yasin di sisi jenazah Mohd Nasir (gambar kecil) yang meninggal akibat serangan jantung, semalam.
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Nerus: “Arwah beritahu mahu berehat sementara menunggu kelas seterusnya, tetapi beberapa minit kemudian rakan memanggil saya selepas melihat keadaannya yang kaku,” kata Jamil Yusuf rakan kepada Mohd Nasir Musa, 53, guru Sekolah Menengah Agama (SMA) Marang yang meninggal dunia di sekolah berkenaan dipercayai akibat serangan jantung.

Guru bahasa Inggeris masih bujang itu ditemui terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam bilik guru oleh rakannya jam 12.15 tengah hari.

Menurut Jamil, dia bersama arwah selesai mengajar sebelum itu masuk bilik guru sebelum rakannya itu memaklumkan mahu berehat.

“Dia baring di belakang sebelum rakan memanggil kerana melihat arwah kaku. Saya bersama rakan lain cuba menggerakkan arwah tetapi tiada tindak balas.

“Saya juga memeriksanya tetapi nadinya terhenti lalu saya memaklumkan kepada pihak pengurusan sekolah,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga Mohd Nasir di Kampung Banggol Pauh, Seberang Takir, di sini, semalam.

Sementara itu, kakak arwah, Hasnah, 66, berkata, arwah adiknya tidak menunjukkan sikap pelik cuma ada mengadu sakit di dada dan belakang beberapa hari sebelum kejadian selain mengadu keletihan.

“Dia tidak mempunyai sakit kronik cuma ada penyakit gout dan pagi tadi (semalam), dia ke sekolah seperti biasa sebelum saya dikejutkan dengan kejadian menimpa arwah,” katanya.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Shafruddin Ali Hussin berkata, Mohd Nasir disukai pelajar kerana kemesraannya selain disifatkan sebagai guru yang baik.

“JPNT mengucapkan takziah kepada ahli keluarga arwah serta warga SMA Marang atas kehilangan yang mengejutkan ini, semoga arwah dicucuri rahmat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2017 @ 5:52 AM