FOTO Ihsan Jihia Koh
Isma Ismail
isma@hmetro.com.my


JABATAN Perikanan Terengganu akan menyiasat mengenai rakaman video seekor penyu Karah dewasa mengigit anak penyu lain yang diletakkan bersama dalam satu kolam di sebuah resort di Pulau Kapas, dekat Marang.

Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Zawawi Ali berkata, pihaknya ada menerima laporan mengenainya pada pagi hari ini selepas video berkenaan tular di media sosial.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal pihaknya dapati cara yang dilakukan pihak pengurusan resort berkenaan salah kerana meletakkan bersama berpuluh ekor anak penyu dengan reptilia itu yang sudah dewasa dalam satu tempat.

"Kami sedang meneliti maklumat dan sedang buat kajian lanjut sebelum tindakan seterusnya diambil," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Video berdurasi satu minit 11 saat itu dirakam pemilik akaun Facebook, Jihia Koh pada 22 Ogos lalu ketika dia bercuti di pulau peranginan terbabit.

Bagaimanapun, rakaman berkenaan hanya dimuat naiknya semalam hingga mendapat reaksi daripada netizen termasuk mengecam tindakan pihak resort terbabit.

Rakaman itu menunjukkan penyu dewasa dipercayai jenis penyu Karah mengigit seekor anak penyu.

Dalam statusnya, Jihia mendakwa dia ada bertanya kepada kakitangan resort terbabit tetapi dimaklumkan bahawa ia adalah perkara biasa.

Lebih mengejutkannya apabila dia dimaklumkan oleh kakitangan terbabit bahawa makanan tidak cukup.

Sementara itu, akaun Facebook milik resort berkenaan menerusi statusnya bahawa penyu Karah albino terbabit sudah dilepaskan ke laut pada 1 September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2017 @ 10:05 PM