Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


TIDAK sampai 12 jam, lelaki yang menyamun seorang wanita Belanda di Pulau Perhentian dengan bersenjatakan parang, berjaya di tahan polis di Kuala Besut, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 petang itu, wanita Belanda berkenaan terpaksa menerima lima jahitan di kepala akibat terkena parang dibawa lelaki berkenaan ketika berlaku pergelutan.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, mangsa berusia 22 tahun yang bekerja sebagai pelayan di sebuah pusat selam skuba bersama rakannya, dihampiri seorang lelaki ketika mereka dalam perjalanan ke sebuah kafe.

Menurutnya, suspek menarik beg tangan mangsa sebelum berlaku pergelutan antara mereka.

"Mangsa cedera di kepala terkena senjata tajam dipercayai parang dibawa suspek.

"Suspek melarikan diri bersama beg tangan mengandungi wang tunai RM125, satu kredit kad dan dua kad debit milik mangsa.

"Mangsa yang luka di kepala menerima rawatan di Klinik Kesihatan Pulau Perhentian sebelum membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja untuk tindakan lanjut," katanya.

Mohd Zamri berkata, suspek berusia 34 tahun berjaya ditahan kira-kira jam 10 malam hari yang sama di sebuah rumah di Kuala Besut.

Katanya, suspek yang positif dadah jenis methamphetamine kini direman enam hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera ketika merompak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2017 @ 3:52 PM