penuntut Politeknik Jeli mangsa lemas di Lata Janggut ditemui orang awam dan bomba.
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


Kota Bharu: Kerajaan negeri akan meningkatkan tahap keselamatan di Lata Janggut, di sini, untuk mengelakkan kejadian tiga penuntut Politeknik Jeli lemas berulang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, pihaknya berbincang dengan pelbagai pihak berkaitan untuk memastikan kawasan rekreasi seperti di Lata Janggut selamat untuk orang awam.

“Kita akan adakan perbincangan dengan pelbagai pihak untuk melihat bagaimana tahap keselamatan di kawasan terbabit dapat dipertingkatkan untuk mengelakkan kejadian sama berulang.

“Antara langkah yang boleh diambil ialah mengenal pasti kawasan berbahaya untuk mandi dan memasang papan tanda sebagai peringatan kepada pengunjung,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad, di sini, semalam.

Muka depan Harian Metro semalam melaporkan, tiga penuntut Politeknik Jeli ditemui lemas ketika mandi di Lata Janggut, di sini.

Dalam kejadian jam 10 pagi, mangsa Muhamad Farid Rozi, Putra Izzad Iskandar Zulkifli dan Muhammad Ikram Faiz Muhammad Faisal, masing-masing berusia 18 tahun ditemui orang awam dan bomba.

Mayat Muhd Farid dan Putra Izzad ditemui jam 10.15 pagi oleh orang awam manakala mayat Muhamad Ikram ditemui bomba jam 11.21 pagi.

Semua mayat dibawa ke Hospital Jeli untuk bedah siasat.

Mengulas lanjut, beliau menasihatkan pengunjung sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan diri dan keluarga ketika melakukan aktiviti rekreasi.

“Kita menggalakkan masyarakat melakukan aktiviti rekreasi di dalam negeri, namun dalam kita bersuka ria, keselamatan perlu diutamakan.

“Kerajaan negeri turut mengucapkan takziah kepada tiga keluarga yang terbabit dalam insiden itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2017 @ 11:47 AM