MEDAN Ikan Bakar Endau.
MERSING Harbour Centre.
PULAU Besar, Mersing.
Hamizah Badiran
hamizah@hmetro.com.my


Daerah pelancongan istimewa ini sememangnya popular dengan produk berasaskan hasil laut selain memiliki banyak pulau tropika yang cantik dan mempesonakan di pesisiran pantainya.

Daripada keenakan keropok lekor dan kehalusan kraftangan buatan masyarakat setempat serta keindahan pulau eksotiknya, daerah Mersing di Johor, ternyata mempunyai tarikan tersendiri merangkumi bentuk landskap sehingga perkhidmatan nilai tambah yang ditawarkan kepada penduduk, pengunjung mahupun pelancong.

Selain itu, layanan ramah mesra dan harga barangan mahupun perkhidmatan yang berpatutan serta suasana persekitaran yang bersih akan menggamit pengunjung dari luar untuk datang dan kembali ke daerah peranginan itu.

Misalnya, barangan cenderamata seperti kemeja-T dengan corak santai dan kraftangan lain boleh didapati di Kompleks R&R dekat Jeti Mersing.

Bagi penggemar keropok lekor, ia boleh dibeli di gerai Mersing Kanan manakala keropok kering berasaskan pelbagai jenis ikan dan hasil laut lain seperti ikan masin dan sotong kering pula boleh dibeli di Jalan Jemaluang.

Menerusi kepelbagaian keistimewaan yang ditawarkan, tidak mustahil daerah dan kepulauan Mersing mampu menjadi destinasi pelancongan serantau utama.

Apatah lagi, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) sedang giat mempromosikan projek pelancongan di Mersing yang juga sebahagian daripada konsep ‘Dari Hutan Hujan ke Terumbu Karang’ atau ‘Rainforest to Reef’ (R2R).

Ia bertujuan menyatukan semua produk, aset dan pembangunan ekopelancongan dari Taman Negara Endau-Rompin hingga ke kawasan pantai, pulau dan terumbu karang di perairan Mersing, termasuk Pulau Besar, Pulau Pemanggil, Pulau Sibu, Pulau Aur dan Pulau Tinggi sebagai sebuah destinasi pelancongan serantau utama.

Antara pembangunan projek pelancongan yang akan menjadi tarikan utama kepada pengunjung adalah Mersing Harbour Centre, sebuah pusat bersepadu yang dilaksanakan oleh ECERDC.

Kompleks yang bakal menempatkan lebih daripada 50 lot kedai dan kios pelbagai jualan jenis makanan, minuman tempatan dan kraftangan unik ini akan dirasmikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar pada 10 September ini sempena Kembara Mahkota Johor 2017.

Keutamaan ruang perniagaan di kompleks itu akan diberi kepada peniaga dan usahawan daripada komuniti B40. Seramai sembilan usahawan adalah peserta program Empower ECER Latihan Kemahiran dan Keusahawanan.

Pusat ini dilengkapi dengan kemudahan seperti tempat letak kereta, kaunter maklumat, dewan pameran, surau, taman permainan kanak-kanak dan kemudahan lain yang akan membantu meletakkan pusat ini sebagai lokasi sehenti untuk pelancong serta penduduk tempatan.

Pelancong yang bercuti di Mersing dan pulaupulau berhampiran juga berpeluang menikmati pelbagai perkhidmatan serta kemudahan di Pusat Informasi dan Perkhidmatan Taman Laut Sultan Iskandar (PIPTLSI) yang bakal dibina oleh ECERDC di Pulau Besar.

Pusat itu turut berfungsi sebagai Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) bagi gugusan kepulauan di Mersing dengan menawarkan pelbagai khidmat dan kemudahan awam di bawah satu bumbung meliputi kaunter informasi, pusat pameran, surau, klinik, balai polis dan juga kafeteria.

Penduduk tempatan juga boleh mendapatkan kemudahan perkhidmatan agensi kerajaan seperti Majlis Daerah Mersing dan Jabatan Laut Wilayah Selatan di RTC.

ECERDC turut bekerjasama dengan agensi kerajaan yang berkaitan iaitu Unit Perancangan Ekonomi Negeri Johor (UPEN Johor) untuk membina dan menambahbaik prasarana asas di Mersing dan lima pulau berhampiran iaitu Pulau Besar, Pulau Pemanggil, Pulau Sibu, Pulau Aur dan Pulau Tinggi.

Beberapa projek seperti program Inap Desa Air Papan (KampungStay Air Papan) berkonsepkan kampung budaya, pembangunan dan menaik taraf kemudahan perikanan rekreasi di Tanjung Penyabong dan prasarana jalan raya juga sudah dilaksanakan.

Projek itu bukan sahaja mampu meningkatkan jumlah kehadiran pelancong, malah turut meningkatkan tahap pendapatan penduduk setempat dan masyarakat Orang Asli.

Selain memberi impak dari segi peningkatan kehadiran pelancong, ia turut mewujudkan peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada penduduk setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2017 @ 10:16 AM