Sebahagian Sahabat Maktab TH bergambar kenangan dengan Syed Saleh (tengah) pada majlis menghargai mereka. FOTO NSTP
Nasharuddin Muhammad
nash@mediaprima.com.my


SERAMAI 370 jemaah haji yang dilantik sebagai Sahabat Maktab diraikan oleh pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai menghargai perkhidmatan mereka membantu rakan jemaah lain sepanjang musim haji.

Majlis Penghargaan Sahabat Maktab itu disempurnakan Ketua Rombongan Haji 1438 Hijrah Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Hadir sama Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan) Nurrin Anuwar Shamsuddin; Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan) Dr Mohammad Faid Abdul Rashid serta pengurusan kanan rombongan haji.

Pada majlis itu, semua Sahabat Maktab termasuk Sahabat Medik dan Sahabat Ibasat menerima sijil penghargaan disampaikan Syed Saleh.

Dua Sahabat Maktab dipilih menyampaikan ucapan mewakili rakan lain iaitu Brigedier Jeneral Datuk Shamsuddin Kassim yang juga Komandan Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang serta pensyarah kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Norhayati Mohd Noor.

Syed Saleh dalam ucapannya berkata, pihaknya amat menghargai komitmen tinggi dan kesungguhan luar biasa ditunjukkan Sahabat Maktab dalam membantu petugas haji menyantuni dhuyufurrahman.

Menurutnya, biarpun sibuk dengan urusan ibadat sendiri terutama ketika di masya'ir khususnya di Arafah dan Mina, namun mereka tetap sanggup berkhidmat menyantuni rakan jemaah lain.

Katanya, khidmat dan pengorbanan dilakukan semua Sahabat Maktab itu yang bergandingan debgan petugas haji berjaya membantu kelancaran operasi haji kali ini terutama ketika masya'ir.

"Hasil gandingan mantap Sahabat Maktab bersama petugas haji benar-benar membantu menangani dhuyufurrahman khususnya ketika operasi kemuncak haji di Arafah dan Mina.

"Kerjasama antara Sahabat Maktab dengan petugas haji ini saling mengukuh antara satu sama lain hingga membolehkan operasi masya'ir berjalan dengan lancar dan teratur," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk menerima sebarang cadangan dan pandangan daripada kumpulan Sahabat Maktab untuk proses penambahbaikan operasi pada masa akan datang.

Menurutnya, hal itu kerana Sahabat Maktab berpeluang melihat sendiri daripada dua aspek berbeza iaitu membabitkan jemaah haji serta petugas hari.

Berkaitan pemakaian 'vest' oleh anggota Sahabat Maktab ketika dalam ihram, Syed Saleh berkata, pihaknya sudah mendapatkan pandangan pakar rujuk ibadat haji yang memutuskan ia tidak menyalahi hukum syarak.

Menurutnya, beliau perlu menjelaskan perkara itu kerana ada isu dibangkitkan berkaitan pemakaiannya oleh Sahabat Maktab ketika dalam ihram.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2017 @ 4:27 PM