GAMBAR ihsan APMM
Nasrawati Syarifuddin
hmkk@hmetro.com.my


LELAKI Indonesia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas didapati cuba menyeludup keluar tong gas petroleum cecair (LPG) di perairan Sungai Melayu, Pulau Sebatik, Tawau.

Bot jongkong itu dilihat dalam keadaan mencurigakan dalam perjalanan menuju ke Sungai Nyamuk, Indonesia, pada 5.30 petang semalam.

Pengarah Maritim Daerah Tawau, Kapten Maritim Romli Mustafa, berkata anggota APMM menahan bot itu dan terdapat lelaki berusia 20-an yang juga juragan.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati, juragan terbabit gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

"Pemeriksaan seterusnya mendapati bot itu sarat dengan muatan 50 tong LPG yang disyaki cuba diseludup keluar dari daerah ini tanpa sebarang permit yang sah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, nilai anggaran LPG berkenaan ialah RM25,000.

"Juragan dan semua barangan dirampas serta dibawa ke Jeti Maritim Tawau. Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2017 @ 2:21 PM