ROHAYA menunjukkan gambar arwah anaknya Muhamad Farid . FOTO Faris Zainuldin
Muhamaad Razis Ismail dan Kamal Majid
razis@hmetro.com.my


MUHAMAD Farid Rozi, 18, yang ditemui lemas di Lata Janggut, Jeli, hadi ini dikatakan keberatan meninggalkan keluarganya untuk pulang ke Politeknik Jeli selepas menghabiskan cuti Aidiladha.

Ibunya, Rohaya Abdul Rashid, 50, berkata, sebelum pulang pada Isnin lalu, anak kelima daripada 10 beradik itu juga sempat menyerahkan gambarnya yang bersaiz passport untuk disimpan.

"Dia memang kerap pulang pada hujung minggu dan selalunya akan bertolak ke Politeknik Jeli pada sebelah pagi dengan menunggang motosikal.

"Selalu tak ada masalah pun dia balik, tetapi pada Isnin lalu saya perasan dia seperti 'berat' nak balik ke sana. Dia lengah-lengahkan sehingga tengah hari baru bertolak.

"Sebelum itu dia bersungguh minta saya simpan gambar passportnya kerana katanya untuk kenang-kenangan. Saya tak fikir apa-apa ketika itu, hanya simpan dalam dompet saya.

"Hanya selepas itu baru saya terfikir perangainya agak lain sikit dan ia dikuatkan dengan berita saya terima mengenai kehilangannya pagi ini," katanya ketika ditemui di Hospital Jeli, hari ini.

Rohaya berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas dihubungi rakan Muhamad Farid yang menggunakan telefon bimbitnya dan segera ke Jeli dari rumahnya di Kampung China, Kota Bharu.

Sementara itu, bapa Muhammad Ikram Faiz, Muhamad Faisal Abdullah, 49, berkata, dia dimaklumkan kejadian itu pada 11.30 pagi oleh pihak pengurusan politeknik terbabit.

"Sebaik dimaklumkan, saya terus bertolak dari Besut, Terengganu ke Hospital Jeli dengan adik saya.

"Kali terakhir saya bertemu dengannya ketika sambutan Aidiladha, baru-baru ini dan dia tidak menunjukkan sebarang perubahan. Pemergiannya amat dirasai kerana dia seorang anak yang menjaga solat dan mendengar kata," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi tadi, Muhamad Farid, Muhammad Ikram Faiz dan Putra Izzad Iskandar Zulkifli berasal dari Bukit Rambai, Melaka ditemui lemas selepas mandi di Lata Janggut, Jeli.

Berita berkaitan:

3 penuntut lemas

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2017 @ 11:42 PM