Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


TIGA individu termasuk bekas eksekutif sebuah syarikat cari gali minyak direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes mengemukakan invois palsu berjumlah AS$5.56 juta (RM23.65 juta) untuk satu projek di Bintulu, Sarawak pada 2015.

Bekas eksekutif berusia 40 tahun dan bapa mentuanya berusia 65 tahun itu ditahan di rumah mereka di Taman Tun Dr Ismail, Damansara, sebelum dibawa ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira 10.30 malam tadi.

Sementara itu, seorang lagi yang direman adalah suami kepada pengarah wanita syarikat kontraktor yang direman sebelum ini berusia 54 tahun.

Dia ditahan di ibu pejabat SPRM pagi ini.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Rabu lalu, SPRM menahan reman tiga individu bagi siasatan kes berkenaan.

Mereka ialah pengarah wanita sebuah syarikat kontraktor yang dikatakan dilantik untuk melaksanakan projek itu serta seorang bekas pembantu teknikal syarikat cari gali berkenaan.

Sumber SPRM sebelum ini memaklumkan, suspek dipercayai mengemukakan tuntutan palsu melalui tiga invois syarikat kontraktor antara April hingga Jun 2015 bagi kerja yang sepatutnya dilakukan syarikat berkenaan.

Difahamkan, tuntutan itu sudah dibayar oleh syarikat cari gali berkenaan kepada syarikat kontraktor terbabit namun tiada kerja dilaksanakan bagi tuntutan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2017 @ 5:16 PM
Bekas eksekutif syarikat cari gali minyak dan bapa mentuanya bersama seorang individu lain dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Putrajaya selepas direman tujuh hari. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor