MOHAMAD Fazree (kiri) dan Siti Nurain (kanan) diiringi anggota polis di Mahkamah Sesyen dan Majistret Ayer Keroh, semalam.
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


Melaka: Dua ahli Geng Along Mamak yang aktif meragut di sekitar negeri ini masing-masing dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan tujuh bulan oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret, di sini, selepas mengaku bersalah atas tuduhan meragut serta memiliki barang curi sejak tahun lalu.

Tertuduh, Mohamad Fazree Abdullah, 30, dan Siti Nurain Affendi, 24, yang juga pasangan kekasih didakwa dalam prosiding berasingan mengaku salah atas semua pertuduhan.

Terdahulu, Mohamad Fazree membuat pengakuan bersalah di Mahkamah Sesyen selepas mengangguk faham terhadap dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Fazree didakwa merompak Siti Shahira Ismail, 19, ketika menunggang motosikal di Jambatan Panglima Awang, di sini, hingga mendatangkan kerugian sekeping kad ATM Maybank, dua powerbank dan satu kertas kerja kolej jam 6.15 petang, 2 Julai 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki MyKad milik mangsa sama di sebuah rumah di Tampin, Negeri Sembilan jam 5.20 petang, 30 Julai lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda hingga RM20,000 atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2017 @ 7:34 AM