FOTO ihsan pembaca
Omar Osman
am@hmetro.com.my


REMAJA berusia 17 tahun maut selepas motosikal Honda EX5 ditunggangnya bertembung dengan lori pasir di Jalan Kongsi 14, Sungai Petani, hari ini.

Kemalangan berlaku 3.16 petang berhampiran Taman Kelisa Ria dan mangsa, A Kumaran, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Saifi Abdul Hamid berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa yang dalam perjalanan dari Taman Kelisa Ria menghala ke arah Kongsi 14, sebaik tiba di tempat kejadian dipercayai gagal mengawal motosikal lalu terbabas memasuki lalauan bertentangan.

Katanya, pada masa sama sebuah lori pasir dari arah Bukit Selambau gagal mengelak lalu bertembung dengan motosikal menyebabkan mangsa terperosok di bawah lori berkenaan.

"Mangsa yang cedera parah di kepala dan mati di tempat kejadian. Mangsa juga tidak memakai topi keledar ketika kejadian.

"Mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim ( HSAH) untuk bedah siasat," katanya dihubungi.

Saifi berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2017 @ 8:58 PM