Iskandar Shah Mohamed dan Nur Izzati Izzah Nadzi
am@hmetro.com.my


POLIS sedang mengesan pemandu pacuan empat roda yang melarikan diri selepas melanggar empat atlet skuad paralimpik berbasikal dan seorang individu lain yang parah di Kilometer 12.6 Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) berdekatan susur keluar Bandar Tasik Puteri, Kuala Selangor, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ruslan Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kejadian 10.45 pagi itu membabitkan empat basikal, Yamaha LC dan Toyota Hilux.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila empat basikal ditunggang semua atlet itu dan motosikal dinaiki seorang pegawai berada di lorong tengah dari arah Ijok ke Rawang.

"Bagaimanapun, mereka dilanggar Hilux yang mahu menukar lorong ke susur keluar Tasik Puteri lalu terus melarikan diri. Kita masih meneruskan usaha mengesan pemandu terbabit," katanya.

Menurut beliau, kelima-lima mangsa dikenali sebagai Khairul Nizam, Nursyafik, Khairul Azwan, Mohd Ridzuan dan Johari Mohd Nayan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.

Kata Ruslan, pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai pemandu Hilux itu supaya menghubungi balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut.

Berita berkaitan:

Tragedi LATAR

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2017 @ 2:31 PM