Anggota APM memusnahkan tebuan yang bersarang di siling rumah di Kampung Bingkul, Jalan Padas.
Mohd Ruzaini Zulkepli
hmkk@hmetro.com.my

Beaufort: Seorang lelaki warga emas terpaksa dikejarkan ke hospital selepas disengat tebuan yang bersarang di siling rumahnya di Kampung Bingkul, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa Jainal Matasan, 72, dikatakan mengadu kesakitan di bahagian muka dan lututnya kepada ahli keluarganya selepas mendakwa disengat serangga itu.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Beaufort Mohd Mayroof Koibil berkata, mangsa kemudian dibawa ke hospital berdekatan oleh anak lelakinya Abdul Jumaat, 44, sebelum menghubungi talian kecemasan 999 untuk meminta bantuan memusnahkan sarang serangga berbisa itu.

“Kita menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 10.23 pagi.

“Sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian pada jam 7.02 petang untuk menjalankan operasi memusnahkan sarang tebuan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, sarang tebuan didapati bersarang di atas siling rumah pengadu sebesar pemeluk manusia.

Katanya, APM memusnahkan sarang tebuan itu dengan menggunakan peralatan khas serta alat penyembur api.

Mohd Mayroof berkata, operasi itu berjaya ditamatkan pada jam 8.45 malam dan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku sepanjang operasi berkenaan dijalankan.

“Mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2017 @ 5:39 AM